Life is like a camera. Just focus on what’s important and capture the good times, develop from the negatives and if things don’t work out, just take another shot.
Showing posts with label kitab ter-ringkas. Show all posts
Showing posts with label kitab ter-ringkas. Show all posts

Sunday, 18 January 2015

Emak 58

Duhai Bidadari,
Yang tidur selepas malam
Yang bangun sebelum pagi.
Memanas dapur sebelum siang
Masih tak diam dibulan terang.

Duhai Bidadari,
Yang sabar dari mengaduh
Jauh sekali mengeluh.
Tak letih membangkit anak setiap pagi
Tak lekang jalani rutin isteri mithali.

Duhai bidadari,
Bidadari pagi malam ke pagi
Moga syurga tempat mu
Moga diterima segala amal mu
Moga dikabul seluruh doa doa mu
Moga menjadi soleh solehah
pada zuriat keturunanmu.

Amin. 😏

Selamat Ulangtahun Kelahiran, Emak yg ke 58.

Tuesday, 6 January 2015

Tolong.

Lindung aku
dari perkara yang tidak tidak.

Pelihara aku
dari perkara yang bukan bukan.

Halangi aku
dari perkara yang jangan jangan.

Tuhan, tolong.

Tuesday, 9 December 2014

Hilang [4]

Lokasi : ruang tamu

Mood : tak stabil

Jam : 21:00 

Alatan : Zenfone 6

Lagu : Adi Permana - Pergilah

............................

Barangkali, ini hanya bingung.
Yang cuba merosak ruang fikir,
Yang cuba menjarak kewarasan
dari hadir.

Barangkali, ini hanya bingung.
Menjadikan kau
keliru untuk berkeputusan,
Hingga sekali lagi kau jatuh
tak berpenahan.

Barangkali, ini hanya bingung.
Yang menyumbang
pada tangis-tangis kecil,
Yang mengundang
harapan yang tak mungkin.

Barangkali, ini hanya bingung.
Yang datang malam hari,
lalu menghilang bila pagi.

..............................................


To beloved friend : love you & thanks! ^_^

Thursday, 19 June 2014

Alhamdulillah, 18 tahun.


Alhamdulillah.
Urusan-urusan penting yang tertangguh sebulan lalu,
akhirnya dibantu Allah dengan mudahnya.
Melakukan sesuatu perkara sendirian,
masih membuat diri kekok dan masih belum terbiasa.
Apa-apapun ia baik dalam mengajar diri untuk lebih sedikit berdikari.

Alhamdulillah.
Dalam doa-doa besar yang aku pohon, masih tiada satu berlaku.
Tapi tenang saja, kerana yakin hanya masanya yang belum tiba.
Namun, dalam doa-doa kecil yang aku pinta, Sebahagian besar, perlahan-lahan telah dimakbulkanNya.
Selalu aku pesannya pada diri.
Usah tamak pada Tuhan dengan meminta itu ini
selagi kau masih terus melakukan perkara yang Dia tidak suka.
Belajarlah bersyukur.

Meskipun atas perkara yang sekecil-kecil, seremeh-remeh,
dan atas perkara-perkara biasa yang kau dapat
 meskipun kau tak minta.

Alhamdulillah.
Atas beberapa pertemuan dengan beberapa teman sekilas lalu.
Kau tahu kan Allah itu tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia?
Begitulah juga aku yakin, pertemuan aku dengan beberapa manusia sekilas lalu kebelakangan ini.
Sedikit sebanyak telah membuka mata, akal & hati
untuk aku perhalusi apa hikmahnya.

Ada yang memberi tunjuk supaya aku tidak leka dengan dosa.
Ada yang mempersoalkan tujuan hidup aku adakah semata demi dunia?
Ada juga yang memperlihatkan aku bahawa tidak pernah wujud kesempurnaan hidup, kecuali syurga.

Dan buat Regina, semoga kau diberi hidayah terhadap Islam,
agar kau tahu bagaimana rasa sempurnanya jiwa
punya Islam sebagai agama.
Menerusi titip-titip doa yang tak pernah akan berhenti
dalam memberi kau harapan
Dan kebergantungan pada Allah itu
adalah ibu segala kekuatan, ketenangan dan kesenangan.

Alhamdulillah.
Dalam kesihatan yang tidak sesempurna orang lain, aku masih mampu bernafas dengan baik,
masih mampu mengemaskini blog, masih mampu menahan sabar dengan karenah manusia yang adakala tidak menyenangkan, adakalanya mengecewakan. Dan atas sahabat-sahabat kiriman Tuhan yang masih mampu bersabar dengan aku yang penuh dengan kelemahan, dan mereka-mereka yang sering menjadikan aku gadis yang mudah tawa.

Syukur, atas rezeki roti sosej satu ringgit yang dapat aku nikmati masa memandu petang tadi, atas lagu Mafarikha - Tolong (OST Cerita Cinta Kita)yang memberi mood baik untuk aku menaip panjang. Dan terakhir kali alhamdulillah atas pandangan mereka yang mengatakan rupaparas aku kelihatan umur 18.
Sekian. :)

.............................................................................

Hasil dekorasi buatan tangan saya - terapi jiwa.



"We can take the long way out
To the country, out of town
Let's get lost, I don't want to be found"







Saturday, 24 May 2014

Tapi SAYANG.

Bagi manusia yang jenisnya sukar menggantikan baju lama dengan yang baru itu kenapa?

1) sayang?

2) kedekut mungkin.

3) tak mahu membazir.
(katanya "masih boleh pakai lagi ni" - walaupun memang tak akan pakai)

4) baju tak banyak. 
(walaupun tempat penggantung baju sudah pun beberapa kali gagal daya tahannya)

Baju itu mungkin emak belikan.
Baju itu mungkin abah belanja

Baju itu mungkin pakaian pertama kali kau keluar bercinta.
Baju itu mungkin guna gaji pertama.
Baju itu mungkin beli bersama dengan orang yang kau sayang.

Baju itu mungkin kongsi separuh-separuh dengan adik.
Baju itu mungkin hasil duit kutu berbulan yang kau simpan.
Baju itu mungkin hadiah dari siapa-siapa.

Ya. Mereka ini,sebenarnya jenis yang sangat menghargai kenangan. Walaupun agak mengada-ngada di situ. Namun dengan hanya sisipan kenangan yang masih terkandung dalam setiap satu baju itu teramat-lah punya nilai. Seolah-olah ingatan pada kenangan tersebut akan dibuang sekali jika ia diserahmilik kepada yang lain. Bukan menidakkan ikhlas. Cuma sayang. Ya, SAYANG.

................................................

Gambar tiada kena-mengena dengan baju. Tapi SAYANG. (:



Monday, 31 March 2014

Selamat datang, APRIL


(source : pinterest.com)


Buat kau April, selamat datang.
Bertemu dengan kau kali ini benar-benar menghayun lebih dari satu perasaan. Aku anggap kali ini bukan gangguan syaitan. Rasa ini, membenih sejuta debar. Nafas seperti tidak sabar mengejar nadi getar. Hey, kau dengar kan April?. Aku tidak pernah menanti hadir kau. Dengan tercatatnya diri kau pada telefon bimbit jenis picit ini, buat leka aku tersedar. Entah apa yang mungkin berlaku antara kita. Entah apa yang bakal kita lalui bersama. Entah suka, entah mungkin duka. Entah mungkin ada beberapa bintang di langit yang dapat aku gapai. Atau mungkin hanya dapat menjenguk jauh langit hitam, tatkala bintang sepurnama ini mencuba padam.  


Buat kau April, salam sayang.
Jujur aku, tiada lah istimewa tentang pertalian kita. Ia sebenarnya lebih dekat dari mengenang saat paling duka. Hey April, kau tahu aku kuat bukan? (senyum) Mana mungkin aku jatuh, sedang aku lah yang paling gemar kau sambut. Mana mungkin mata kembali menangis, sedang sinar kau lah telah menghayal aku dengan seluruh magis.(senyum)


Buat kau April.
Terima kasih kerana datang. Tidaklah aku memanggil harap. Cukup dengan ucap gembira menyambut kau tiba. Kita kan jarang jumpa. (senyum). Oh ya, maaf. Kerana tiada bunga api mahupun belon udara. (keluh). Berharap sangat mendapat cuti rehat tiga puluh satu hari atas kepulangan kau. kalau boleh mahu dapat berdua. Tak mahu ada siapa-siapa. Berdirian dua dengan kau itu satu-satunya penenang jiwa. Kau tahu April, sepanjang ketiadaan kau, aku telah menghadap bermacam-macam keadaan dan manusia. Mereka tak seperti kau. Tepat janji. Seperti janji kau yang tak pernah mungkir untuk muncul semula. 


April, Kau faham aku kan April? degil aku. bimbang aku. dan tawa-tawa yang berjaya mengempang jiwa dari berkaca. Tolong heret aku pergi kali ini April. Aku penat. Benar-benar perlukan rehat. Mohon rangkul aku erat. Bersama hamparan langit yang terpaling dekat. Aku ingin benar berada di situ. Agar hilang ketakutan semalam. Agar lena aku tidak lagi dipermainkan mimpi-mimpi kejam. Agar hanya ada aku, kau dan malam.


April
kau tahu kan,
Tuhan kita itu mendengar setiap apa yang kita rintihkan.
Dan aku yakin, Dia sedang makbulkan.


....................................................................................


Semoga segalanya baik-baik. Amin! (>_<)







Friday, 19 April 2013

Selamat UlangTahun Lahir 19042013


Aku tak punya ramai kawan. Boleh minta jari bilang, itupun kalau ada yang rajin nak mengambil kira. Ini takdir yang aku pilih. Sebab aku paling emosi bila friendlist aku banyak tapi sekelumit saja yang tahu aku masih hidup. Aku tak punya keluarga besar. Tidak senang. Tapi cukup. Sebab aku tak mengambil konsep, ramai itu meriah. Banyak mesti bising. Cantik mesti puas. Dan untung mesti duit. Sama sekali tidak. Meskipun berada dalam kepopularitian itu indah. Namun keselesaan hanya ada dengan menjadi orang kebanyakkan. Hanya pada ketidaksempurnaan. Hanya pada kesederhanaan.


Inilah hari ulangtahun lahir aku. Tiada kejadian zahir yang istimewa. Mungkin sebab Abah tak sihat. Hari pun hujan. Tapi itu rahmat. Berkat Jumaat. Tuhan telah izinkan aku qada' tidur. Dan aku masih boleh sihat. Boleh nafas dalam-dalam. Boleh pejam mata, celik dan pejam balik. Boleh garu-garu bila gatal. Masih ada deria sakit bila terhantuk di bucu pintu kelmarin. Masih boleh memandu. Boleh ulang & sumbang-kan lagu Cakra Khan-Harus Terpisah, tanpa jemu. Boleh ketawa dekah-dekah. Boleh berdiri. Dan masih boleh memakai jam tangan kegemaran yang berusia lebih 3 tahun. Nikmat Tuhan ini-ini lah yang selalu buat aku segan.

Apa yang lebih istimewa dari meraih ucapan hari ulangtahun dan doa. Walaupun sekadar melalui mesej, muka buku, panggilan telefon. Tiada manusia yang tiada mahu dihargai. Fitrah rasa ini satu kejadian. Perkara 'sekadar' itulah yang punya harga tanpa titik perpuluhan. Dikelilingi manusia yang aku sayang. Semua. Tak kira yang pernah meluka atau diluka, sayang tetap sayang. Tak kira yang jauh, atau tak berketahuan latar belakang. Tuhan aku beri rasa satu itu, pinjam. Dan aku izinkan semua untuk kongsi.

Semoga dijauh dari ujub, hasad, sombong, buruk sangka, bakhil & segala sifat-sifat jalang.
Semoga aku tenang, menanti makbul doa-doa yang bakal datang. 


-------------------------------------------------



Selamat Hari Ulangtahun Lahir 19:04:2013. 
buat Aku,gadis kebanyakkan.
dan 
Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-85, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

>_<






Thursday, 18 April 2013

Kad Merah Empat Segi.






Kad merah empat segi sebesar telapak tangan. Wajib bawa. Jenuh mak bebel mengingatkan. Sebab kadang aku lupa. Last minute, selalu yang patut ingat tu lah yang aku patutkan untuk tinggal. Daya ingatan aku lemah. Tapi aku bukan pengidap sebarang penyakit berjangkit sekitar otak. Walaupun kadang itu aku fikir 'mungkin' ada. Sebab kebarangkalian itu sentiasa wujud selagi aku tak pernah menjalankan pemeriksaan kepala.

30 minit jarak ke hospital. Cuba tenang. Sedikit kalut, sebab ini kali pertama mak tak dapat meneman. Kereta kancil biru hakmilik mutlak emak inilah yang banyak beri nilai sentimental pada kehidupan baru aku. Dan paling banyak mengundang kemarahan jalanraya bagi kelompok manusia yang tiada iman untuk sabar. Kejap 60km/j kejap 78km/j.

Berkurung hitam pekat penuh. Tak ubah macam meraikan hari kematian. Kolot manusia, memang tak akan habis. Kasi nyah saja dari telinga. Jadi asal aku selesa itu aku sarung. Nombor giliran 1004. Aku suka 4, sebab bulan kelahiran. Macam sweet-sweet gitu. Tak 'ong'?Ah.Karut yang boleh dicarut. 


Dipanggil doktor. Tanggal selipar. Baring. Lighting on. Muda, bertubuh genit, pasti cina. Dengar loghat bualannya dengan jururawat, ini seperti pertama kali dia masuk kerja. Mungkin baru tamat training. Atau mungkin bawa sedikit pengalaman lama dari Sarawak. Tak pasti dengan apa aku dengar. Jelas-jelas aku mula gentar. Sempat lagi diam-diam aku doa. Tuhan aku. Dia satu-satu tempat rujukkan hati yang aku ada. Cukup hanya Dia.


"22 sound. 23 24 sound. 25 caries, 26 sound, 27 caries, 28 caries". Meskipun taraf pendidikan aku dan doktor tak jauh beza, hanya lain cabang bidang. Jadi tidak faham itu aku merasakan lebih baik. Atau buat buat tak faham adalah jalan terbaik. Supaya kegelisahan hati tak kencang. "Gigi you ada rosak teruk, you mahu tampal atau cabut?". Bukankah itu tanggungjawab golongan berjaket putih menentukan yang terbaik? Perlu ke aku pura-pura tenang berkeputusan? sedang aku sendiri tak tahu apakah tindakan orang awam jika diberi pilihan sedemikian. Kalau lah punya masa panjang, mungkin sempat untuk aku edarkan helaian kaji selidik kepada 100 orang responden secara rawak.


Tampal. Sedar separuh kudrat menangkis sakit-perit. "you punya lubang dah dalam sangat, better cabut". Terima kasih. Limpahan kasih ke atas keputusan mudah yang kau buat. Disela dengan anggukkan mudah juga dari aku. Malas. Aku nak keluar cepat. Dari bayangan bilik serupa bilik pembedahan mayat. Dan dari filem The Saw & The Final Destination yang beri imiginasi jahat.

"I bagi you temporary tampal. Next week you boleh datang untuk cabut. Anytime."

Untuk menanti minggu depan. Aku tak pasti aku sedang berharap untuk terus hidup atau
mati itu satu lagi pilihan.



by 27kali



Sunday, 14 April 2013

Abu!



Matahari dalam perjalanan pulang.
Burung lelayang menemani petang aku riang-riang.
Sedang Abu berhempas-pulas memperbaiki lampu picit biru kesayangannya, aku hanya mati memerhati...

"Abu!"

"Apa??"

"kau ni kachaklah. Mesti semua mak-mak mertua kat kampung kita, dan kampung-kampung sebelah nak ber-menantu-kan kau kan"

"Ah kau ni Limah, suka kau mengarut senja-senja buta ni kan. Pian tu aku tengok lagi kachak, macam Pierre Andre kegemaran kau lagi."

"Tapi kau lain Abu. Kachak kau bertempat. Kachak kau ni menyeluruh. Kachak kau rare!"

"Kalau kau jeles melihat aku kachak kau terus terang bagitahu je kat aku Limah. Aku tak mungkin marah. Bukan salah kau pun. Salah mata kau. Nanti aku tolong butakan mata kau.Mau? hahaha..."

Hisy, Abu..Abu..dalam ngilai-ngilai pun kau masih gila kachak.
Patutlah semua gadis-gadis kampung terjelepok histeria akan ke-kachak-kan kau.

Kalau lah rupa aku mirip Maya Karin, mesti mak aku pun turut berpeluang ber-menantu-kan kau Abu!


Saturday, 6 April 2013

Kocek



"Weekend ni you pigi mana? you ada kelua jalan-jalan ka?" soal Mei Lin, yang sudah memiliki dua  orang anak. Manis. Berlesung pipit.

"Tak ada, duduk rumah je kot." balas aku bersahaja.

"Tak ada?kalau tak ada kelua, mana mau jumpa boyfriend meh?" ujar Mei Lin bersungguh, dek
kerana pengalamannya dulu berkenalan dengan si suami di pusat membeli-belah.

''Kepercayaan kepada Tuhan. Rukun negara pertama meh." bisik hati.  
Nasib kau cina Mei Lin. Jadi tak perlu aku bebel panjang tentang Jodoh & Takdir.



            Aku topangkan ideologi dua hati pada Tuhan.
Tiada satu ruang pun yang sudi simpankan kisah lalu aku.
Jadi aku biarkan semuanya ke kocek, katup rapi dengan butang besi.

Aku sedang mem-pasakkan hati se-vertikal yang boleh.
Mahu selari dengan biru-biru jernih yang selalu mengiring graviti.
Rindu yang entah pada siapa ini, aku biarkan saja ia menghilir tenang.
Menanti yakin (dengan izin Tuhan) pada 'Sang Siapa' yang dalam perjalanan datang.


Telefon bimbit biru kesayangan jenis berpunat, dikeluarkan dari kocek kiri baju kurung.

"Mei Lin, i dah kunci alarm, kalau i tak sedar, u tolong kejutkan ya" pesan aku pada Mei Lin yang sedang nikmat menghirup Maggi kari di pantry office.

by 27kali