Aku tak punya ramai kawan. Boleh minta jari bilang, itupun kalau ada yang rajin nak mengambil kira. Ini takdir yang aku pilih. Sebab aku paling emosi bila friendlist aku banyak tapi sekelumit saja yang tahu aku masih hidup. Aku tak punya keluarga besar. Tidak senang. Tapi cukup. Sebab aku tak mengambil konsep, ramai itu meriah. Banyak mesti bising. Cantik mesti puas. Dan untung mesti duit. Sama sekali tidak. Meskipun berada dalam kepopularitian itu indah. Namun keselesaan hanya ada dengan menjadi orang kebanyakkan. Hanya pada ketidaksempurnaan. Hanya pada kesederhanaan.
Inilah hari ulangtahun lahir aku. Tiada kejadian zahir yang istimewa. Mungkin sebab Abah tak sihat. Hari pun hujan. Tapi itu rahmat. Berkat Jumaat. Tuhan telah izinkan aku qada' tidur. Dan aku masih boleh sihat. Boleh nafas dalam-dalam. Boleh pejam mata, celik dan pejam balik. Boleh garu-garu bila gatal. Masih ada deria sakit bila terhantuk di bucu pintu kelmarin. Masih boleh memandu. Boleh ulang & sumbang-kan lagu Cakra Khan-Harus Terpisah, tanpa jemu. Boleh ketawa dekah-dekah. Boleh berdiri. Dan masih boleh memakai jam tangan kegemaran yang berusia lebih 3 tahun. Nikmat Tuhan ini-ini lah yang selalu buat aku segan.
Apa yang lebih istimewa dari meraih ucapan hari ulangtahun dan doa. Walaupun sekadar melalui mesej, muka buku, panggilan telefon. Tiada manusia yang tiada mahu dihargai. Fitrah rasa ini satu kejadian. Perkara 'sekadar' itulah yang punya harga tanpa titik perpuluhan. Dikelilingi manusia yang aku sayang. Semua. Tak kira yang pernah meluka atau diluka, sayang tetap sayang. Tak kira yang jauh, atau tak berketahuan latar belakang. Tuhan aku beri rasa satu itu, pinjam. Dan aku izinkan semua untuk kongsi.
Semoga dijauh dari ujub, hasad, sombong, buruk sangka, bakhil & segala sifat-sifat jalang.
Semoga aku tenang, menanti makbul doa-doa yang bakal datang.
-------------------------------------------------
Selamat Hari Ulangtahun Lahir 19:04:2013.
buat Aku,gadis kebanyakkan.
dan
Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-85, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
dan
Selamat Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang Ke-85, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.
>_<

No comments:
Post a Comment