(source : pinterest.com)
Buat kau April, selamat datang.
Bertemu dengan kau kali ini benar-benar menghayun lebih dari satu perasaan. Aku anggap kali ini bukan gangguan syaitan. Rasa ini, membenih sejuta debar. Nafas seperti tidak sabar mengejar nadi getar. Hey, kau dengar kan April?. Aku tidak pernah menanti hadir kau. Dengan tercatatnya diri kau pada telefon bimbit jenis picit ini, buat leka aku tersedar. Entah apa yang mungkin berlaku antara kita. Entah apa yang bakal kita lalui bersama. Entah suka, entah mungkin duka. Entah mungkin ada beberapa bintang di langit yang dapat aku gapai. Atau mungkin hanya dapat menjenguk jauh langit hitam, tatkala bintang sepurnama ini mencuba padam.
Buat kau April, salam sayang.
Jujur aku, tiada lah istimewa tentang pertalian kita. Ia sebenarnya lebih dekat dari mengenang saat paling duka. Hey April, kau tahu aku kuat bukan? (senyum) Mana mungkin aku jatuh, sedang aku lah yang paling gemar kau sambut. Mana mungkin mata kembali menangis, sedang sinar kau lah telah menghayal aku dengan seluruh magis.(senyum)
Buat kau April.
Terima kasih kerana datang. Tidaklah aku memanggil harap. Cukup dengan ucap gembira menyambut kau tiba. Kita kan jarang jumpa. (senyum). Oh ya, maaf. Kerana tiada bunga api mahupun belon udara. (keluh). Berharap sangat mendapat cuti rehat tiga puluh satu hari atas kepulangan kau. kalau boleh mahu dapat berdua. Tak mahu ada siapa-siapa. Berdirian dua dengan kau itu satu-satunya penenang jiwa. Kau tahu April, sepanjang ketiadaan kau, aku telah menghadap bermacam-macam keadaan dan manusia. Mereka tak seperti kau. Tepat janji. Seperti janji kau yang tak pernah mungkir untuk muncul semula.
April, Kau faham aku kan April? degil aku. bimbang aku. dan tawa-tawa yang berjaya mengempang jiwa dari berkaca. Tolong heret aku pergi kali ini April. Aku penat. Benar-benar perlukan rehat. Mohon rangkul aku erat. Bersama hamparan langit yang terpaling dekat. Aku ingin benar berada di situ. Agar hilang ketakutan semalam. Agar lena aku tidak lagi dipermainkan mimpi-mimpi kejam. Agar hanya ada aku, kau dan malam.
April
kau tahu kan,
Tuhan kita itu mendengar setiap apa yang kita rintihkan.
Dan aku yakin, Dia sedang makbulkan.
....................................................................................
Semoga segalanya baik-baik. Amin! (>_<)

No comments:
Post a Comment