Bagi gadis. Bual bicara bersama rakan-rakan segadis, tentang jodoh itu satu kesenorokan yang pasti. Fitrah naluri yang ingin memiliki seorang laki-laki sebagai pelengkap. Mengimpi sebuah keluarga, bagi memenuhi kekosongan jiwa. Ya, seorang laki-laki. Pelengkap kepada rompong-rompong peribadi seorang gadis.
Bagi gadis. Mengimajinasi perwatakan idaman seorang laki-laki pelengkap itu satu kemestian. Tidaklah terlalu mengharap. Tapi, andai dapat? Tuah manusia itu siapa tahu kan. Tidak salah mendoa. Seorang yang sederhana sifatnya. Berilmu. Matang dalam menguruskan hidup itu penting. Kestabilan dalam kewangan. Bertanggungjawab. Setia. Baik rupa paras & akhlak - merangkumi adab kata-kata dan perilakunya terhadap setiap makhluk disekeliling. Menjaga solat 5 waktunya itu mesti. Penting bagi mencorak peribadi anak-anak kemudian hari. Namun bagi fleksibiliti gadis, jika masih tak menepati, kasi sahaja ruang pada dia - berubah. Selesai.
Bagi gadis. Walau apa jua latar belakang bagi laki-laki pelengkap itu bawa, harus sahaja terima. Harus redha, sebagaimana dia. Sejarah belakang dulu hanya sekadar perjalanan mengenal hidup. Kita semua lalui jalan itu, cuma beza. Dan yang harus diambil-kira itu "sekarang". Bukan yang "sudah lepas", dan juga bukan "akan datang" yang belum pasti.
Bagi gadis. Mengosongkan hati dari mana-mana laki-laki yang tidak pasti itu seperti sudah lali. Menipulah jika tidak rapuh berdiri sendiri. Sebab terkadang itu, hendak tak hendak jiwa pasti terumbang-ambing melayan bisik syaitan. Hati yang mudah-mudah jatuh dalam ketidaksengajaan. Perasaan yang sering menyesak dalam rasa cinta yang tak patut-patut. Namun, janji Tuhan itu pasti. Pelengkap hidup yang sempurna itu tak usahlah tergesa-gesa mencari, tapi cubalah menjadi.
Saat ini, yang mana prioriti hidup bagi seorang gadis itu hanya untuk Tuhan. Yang keduanya untuk keluarga. Dan ketiga masa hadapan. :)
Rindhew.

No comments:
Post a Comment